Followers

/ Tagboard \

We are really hope that you will get something with this blog. Please respect to each other and keep enjoying with us ^.^
.Images are credit to Google.

Bab 9

Puan Syamila mendatangi Encik Yusof yang sedang galak membetulkan jala di atas pangkin di bawah pokok rambutan. Segelas air kopi ditatang bersama.
“ Air, bang.” Puan Syamila melabuhkan punggung di sisi suaminya. Dihulurkan air kopi yang dibawa kepada suaminya. Encik Yusof menyambut. Dihirup perlahan sebelum diberikan semula kepada isterinya.
“ Terima kasih,” ucap Encik Yusof. Puan Syamila tersenyum. Itulah ayat yang tidak pernah lekang dari bibir suaminya sejak mereka berkahwin. Membuatkan dirinya sentiasa dihargai.
“ Macam manalah keadaan Sakinah di sana, bang? Saya risau,” luah Puan Syamila. Perkara itu selalu berlegar-legar di benaknya. Bimbang sungguh mengenangkan anaknya yang baru berkahwin dalam usia yang begitu muda.
“ Hei, hal Sakinah lagi yang awak risaukan? Nak risau apa lagi? Sakinah dah berkahwin tahulah suaminya menjaga dia. Lagipun kawan baik awak tu sekarang dah jadi mak mertua dia. Tahulah dia nak tengok-tengokkan Kinah.” Encik Yusof berkata sambil tangannya ligat bekerja pada jalanya.
Puan Syamila mengeluh lembut. “ Maksud saya, Sakinah tu masih muda. Tahu ke dia nak menguruskan rumah tangga? Nak uruskan suami satu hal, belum lagi dengan anak. Belum apa-apa lagi dah dapat pangkat ibu segera.” Luahnya.
Encik Yusof terus meletakkan jalanya ke tepi. Dia memandang isterinya. “ Habis tu, waktu Ain meminang Sakinah kenapa awak tak menolak saja? Sekarang baru nak cakap yang awak tak mahu bermenantukan lelaki duda,” tuturnya lembut.
 “ Saya bukan tak suka, bang. Saya cuma risaukan Sakinah. Dalam satu masa dia kena belajar menguruskan suami dengan anak serentak. Lepas ni, dia nak sambung belajar pula. Banyak beban yang dia kena tanggung. Saya takut dia tak dapat nak hadapi semua itu.” Puan Syamila mambalas.
“ Janganlah risau, Mila. Awak dah lupa yang Sakinah tu bukan calang-calang anak. Dari kecil kita tengok dia membesar sampai sekarang. Susah senang kita Sakinah banyak bersabar dari abang dan adik-adiknya. Dulu waktu kita suruh tangguhkan pengajian, dia tetap menurut biarpun abang tahu dia kecewa. Tapi rasa kecewa itu langsung tak pernah ditunjukkan pada kita. Sekarang pun abang percaya Sakinah tetap mampu hadapi semua itu.” Pujuk Encik Yusof. Puan Syamila mengangguk perlahan tanda mengiyakan.
“ Saya pun harap begitu, bang.”
“ Assalammualaikum…” seru satu suara di halaman rumah. Encik Yusof dan Puan Syamila melihat Encik Ismail menghampiri mereka.
            “ Waalaikummussalam,” jawab pasangan suami isteri itu serentak.
“ Sihat, Mail? ” Tanya Encik Yusof setelah mereka bersalaman. Puan Syamila sudah meminta diri masuk ke dalam rumah untuk membuat air.
“ Alhamdulillah..aku sihat, macam inilah selalunya. Kau pulak? Sihat? ” Encik Ismail melabuhkan punggung di atas pangkin. Duduk setentangan Encik Yusof.
“ Alhamdulillah, sihat. Kenapa tiba-tiba ke sini? ”
“ Aku dapat tahu kau tak ke laut jadi langsung ke sini. Kenapa? Ada masalah? ”
“ Jala aku yang tak sihat. Terpaksalah aku betulkan sebelum ke laut.” Jawab Encik Yusof.
“ Oh, aku ingatkan dah tak mahu ke laut! Maklumlah, dapat menantu kaya.” Encik Ismail mengusik. Encik Yusof tergelak kecil.
“ Yang kaya menantu, bukan aku.” Balas Encik Yusof bersahaja. Encik Ismail tergelak pula.
“ Untunglah anak kau, Yusof. Anak aku Marisa dah dua tahun bekerja di KL tapi seorang lelaki kaya pun tak dapat ditangkapnya bawa balik.” Encik Ismail bercanda lagi. Encik Yusof menggeleng sambil tesenyum. 
“ Dah jodoh Sakinah. Aku terima sajalah. Kalau tak silap aku Marisa bekerja sebagai jururawat, kan? Tak dapat menantu kaya pun tapi anak kau dah bekerja cari duit untuk kau. Tak lama lagi kau bertambah senang daripada aku.” Kata Encik Yusof merendah diri.
“ Itulah pasalnya. Marisa tu satu-satunya anak aku. Dari kecil dia dah merasa hidup susah, sekurang-kurangnya kalau dia ada suami yang berduit sikit tak adalah hidupnya susah lagi. Tapi kalau dibuatnya jodoh dia dengan orang susah alamatnya bertambah susahlah aku.” Omel Encik Ismail. Encik Yusof  menyedari kedatangan isterinya diam terlebih dahulu.
“ Apa yang susah-susah ni? ” telah Puan Syamila dengan membawa sebuah dulang. Diletakkan secawan kopi di depan Encik Ismail dan sedikit kuih keria untuk juadah minum petang.
“ Mail nak menantu kaya macam kita,” gurau Encik Yusof menjawab persoalan isterinya. Encik Ismail ketawa. Puan Syamila hanya tersenyum.
“ Kalau menantu kaya tapi anak kita tak bahagia tak boleh juga,” tambah Puan Syamila.
“ Betul jugak tu. Dapat menantu kaya tapi anak kita merana lagi susah.” Encik Ismail menyokong kata-kata isteri temannya itu. Dia terlupa pula soal itu.
“ Hah, tahu pun. Kaya, miskin, berduit ke tak semua tu jodoh. Yang penting kita doakan yang terbaik buat kesejahteraan anak-anak kita.” Encik Yusof mengulas lagi. Encik Ismail mengangguk setuju.
“ Tapi harap-harap berduit dan beriman,” Encik Ismail tetap berharap. Puan Syamila dan Encik Yusof 

tertawa selepas itu. Begitu bersungguh harapan Encik Ismail.

No comments:

Post a Comment

hai ! terima kasih ^.^